cna

Aljazeera

Friday, April 24, 2009

Live WebTV




Usah Abai Kawasan Tadahan Air

Professor Madya Dr Maketab Mohamed dari Institut Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil contoh air di kawasan tadahan air Sungai Terla, salah satu daripada tiga kawasan tadahan air penting di Cameron Highlands. Menurutnya pengurusan kawasan tadahan air negara secara relatifnya masih lemah berbanding negara-negara maju dan ini disebabkan pengetahuan teknikal yang terhad. Kewujudan ladang baru di hulu loji rawatan air Sungai Terla menjadi ancaman utama kepada mutu air mentah. Foto: Melati Mohd Ariff

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Berbilion ringgit dijangka dibelanja untuk membersihkan Sungai Klang yang panjangnya 120 kilometer.

Jumlah yang besar ini dilapor sebahagian daripada RM10 bilion yang diperuntukkan kerajaan negeri Selangor untuk membangunkan semula Klang, Petaling Jaya dan Kajang.

Kerajaan negeri Selangor berkata ia mahu mencontohi kejayaan Singapura yang berjaya membersihkan Sungai Singapura daripada pencemaran di bawah program yang mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk disempurnakan.

Projek pembersihan Sungai Klang yang dicadangkan itu dilapor akan menjadikan tanah simpanan sungai sebagai hartanah yang bernilai tinggi dan dijangka dilaksanakan tahun ini dan siap dalam masa lima tahun.

Di samping dapat memulihara satu daripada anugerah besar alam kepada manusia untuk generasi masa depan, Sungai Klang juga boleh menyediakan pengangkutan alternatif, khusus untuk penduduk Klang seperti yang didambakan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

CIRI SUNGAI SIHAT

Tanpa perlu dizahirkan, sungai yang sihat amat bergantung kepada persekitaran kawasan tadahan airnya. Namun, berapa ramai antara kita yang menghargai kenyataan ini atau memilih untuk berlaku jahil atau mengabaikannya?

Yang lebih penting lagi untuk kita hargai ialah kawasan sekeliling sungai yang merupakan "hutan" dalam bentuk semula jadinya.

"Hutan tepian sungai ini menerima sejumlah besar air hujan, di samping diserap tumbuhan, selebihnya akan menyerap ke dalam bumi untuk memulihkan kelembapan tanah. Proses semula jadi ini memungkinkan air yang di dalam bumi dilepaskan ke sungai di dalam hutan dalam bentuk semula jadi iaitu Kelas 1 (selamat untuk diminum terus dari sumber).

"Sedikit air ini akan mengalir ke hilir aliran air bumi, dan hutan mengawal aliran sungai. Sewaktu musim tengkujuh, hutan ini bertindak sebagai span dengan menyerap sejumlah besar air hujan, dan ini mengurangkan jumlah air yang mengalir ke dalam sungai. Ketika musim kering pula, hutan secara perlahan-lahan akan melepaskan air dari dalam tanah ke dalam sungai menerusi proses graviti," jelas Dr Chan Ngai Weng, Profesor Bahagian Geografi, Universiti Sains Malaysia (USM).

HUTAN KONKRIT

Menurut Dr Chan, menerusi proses transpirasi (pengewapan air), sebatang pokok yang bersaiz sederhana kehilangan lebih 200 liter air sejam ketika cuaca panas.

Sejumlah besar pengewapan air akan naik ke atmosfera untuk membentuk awan, yang akhirnya akan menghasilkan hujan, katanya.

Dengan mengambil Pulau Pinang sebagai contoh, beliau berkata pulau itu kehilangan sumber transpirasi kerana kebanyakan hutannya lenyap disebabkan memberi laluan kepada 'hutan konkrit'.

"Serupa juga dengan Kuala Lumpur. Sekiranya hutan konkrit menggantikan hutan tepian sungai, banjir kilat akan berlaku dengan lebih kerap kerana ketiadaan kemampuan untuk menyerap air hujan.

"Tanpa hutan, air akan lebih tercemar kerana tiada penurasan semula jadi," kata Dr Chan yang juga presiden Water Watch Penang (WWP).

WWP ialah pertubuhan bukan berbentuk keuntungan yang ditubuhkan pada November 1997 sebagai sebahagian daripada Inisiatif Kelestarian Pulau Pinang di bawah Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi dan Alam Sekitar (SERI) Pulau Pinang.

TIADA PEMBAIKAN

Dr Chan juga memberitahu Bernama bahawa sungai-sungai di Pulau Pinang secara umumnya masih kotor.

"Berdasarkan hasil tinjauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan penilaian kami sendiri, kualiti sungai di Pulau Pinang tidak berubah seperti yang diharapkan. Malahan keadaannya semakin merosot sejak tahun-tahun kebelakangan ini kerana sikap buruk orang ramai yang membuang sampah ke dalam sungai," jelasnya.

Beliau turut memberikan beberapa faktor lain yang menyumbang kepada keadaan sungai yang berada dalam keadaan yang begitu menyedihkan. Antaranya penguatkuasaan kawalan pencemaran ke atas kilang, perniagaan dan pertanian yang tidak berkesan di samping kualiti efluen dari loji rawatan air sisa yang tidak memuaskan.

Penduduk Pulau Pinang tidak berapa mengambil berat tentang sungai berbanding isu ekonomi atau politik, katanya, dan WWP berusaha keras untuk mengubah sikap penduduk pulau itu menerusi pendidikan dan kesedaran mengenai air.

Beliau berkata isu alam sekitar juga dianggap sebagai perkara kedua (sekunder) dan tidak penting.

"Amat sukar untuk mengubah sikap ini. Tidak ada banyak peruntukan kewangan dibelanjakan ke atas pendidikan, kesedaran umum dan memasukkan pendidikan alam sekitar di dalam kurikulum sekolah.

"Kerajaan Pulau Pinang perlu berbelanja lebih untuk beberapa aspek ini. Sia-sia berbelanja berjuta-juta membersihkan sungai yang kotor sedangkan satu sen pun tidak dibelanjakan untuk pendidikan. Apa gunanaya mengorek satu tan sampah sehari sekiranya orang ramai membuang dua tan atau lebih sampah sehari? Pastinya, pendidikan itu amat diperlukan.

"Kerajaan Negeri telah menubuhkan jawatankuasa mengenai Pengurusan Sungai Pinang, tetapi kebanyakan perkara yang disentuh oleh jawatankuasa itu masih bertumpu kepada langkah-langkah struktur. Kurang penekanan diberi kepada langkah bukan struktur seperti pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan yang lebih ketat," kata Dr Chan.

SITUASI MENANG-MENANG

Menjadikan sungai sebagai tong sampah lama kelamaan akan membunuh ekosistem sungai tetapi jika kebersihannya dijaga ia adalah situasi menang-menang, kata Piarapakaran Subramaniam, Pengurus, Bahagian Alam Sekitar, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca).

"Sekiranya kita menjaga kebersihannya, ia menjadi sumber air dan menyediakan juga hidupan akuatik sebagai sumber makanan untuk kita.

"Itu pun kita disarankan supaya tidak mengeksploitnya secara berlebihan. Eksploitasi sumber sungai yang terlalu banyak boleh mencetuskan impak negatif, bersamaan juga dengan melakukan pencemaran," kata Piarapakaran.

"Orang ramai perlu faham satu perkara asas iaitu apa sahaja yang kita campakkan ke dalam sungai kesudahannya akan berakhir dalam rantaian makanan kita sama ada di dalam air minuman atau sumber makanan. Ini sama juga dengan semua punca air," tegasnya.

BUKIT LARUT

Piarapakaran yang juga Pengarah Eksekutif Forum Air Malaysia (MWF) memberitahu Bernama, tidak ada banyak lagi 'kawasan tadahan air yang bersih" di Malaysia.

Dengan memberikan Bukit Larut, Perak sebagai antara jumlah kecil yang masih ada, beliau berkata pembuangan sampah merata-rata akibat kegiatan pelancongan yang semakin meningkat memberi impak ke atas kawasan tadahan air itu, kepada tahap yang membimbangkan.

"Membuang sampah merata-rata secara langsung akan mencemarkan punca air yang bersih. Kita dapat lihat sebahagian besar mereka yang bersantai di Bukit Larut juga minum air daripada punca air yang ada di kawasan itu.

"Kami tidak menggalakkan perkara ini memandangkan pembuangan sampah berlaku di merata-rata tempat dan banyak lagi punca pencemaran yang sedang berlaku di kawasan berkenaan," katanya.

Menurut beliau terdapat tujuh sungai yang menyumbang terus kepada punca air minuman di sekitar banjaran bukit-bukau kawasan Bukit Larut.

"Kawasan tadahan air utama meliputi kawasan seluas 21.53 km persegi dan sudah tentunya kawasan tadahan sekunder lebih besar.

"Akibat kegiatan manusia yang semakin meningkat serta cadangan projek kereta kabel di Bukit Larut, bukit itu menghadapi risiko untuk kehilangan segala-galanya. Malahan sekarang pun sudah ada tangki septik individu dibina di kawasan peranginan bukit dan air sisa mengalir terus ke air terjun," kata Piarapakaran.

OPERASI PEMBERSIHAN

Lebih 30 beg sampah dikumpul dalam operasi sehari anjuran MWF pada 22 Mac lalu bersempena Hari Air Sedunia pada hari yang sama.

"Kami berjaya melakukan kerja-kerja pembersihan separuh jalan ke bawah bukit. Kami mengutip sampah di mana yang boleh memandangkan sesetengah tempat terlalu bahaya dan boleh mengancam keselamatan untuk kami lalui.

"Sampah yang kami kutip terdiri daripada polystyrene, botol plastik dan pembalut gula-gula. Adalah menyedihkan untuk memikirkan semua ini akan berakhir di dalam air minuman kita," kata Piarapakaran yang mengetuai operasi pembersihan bersama 12 sukarelawan dari Taiping.

Memandangkan kepentingan banjaran bukit-bukau Bukit Larut sebagai kawasan tadahan air, Piarapakaran berkata kegiatan pembersihan akan diteruskan pada hari Sabtu ketiga setiap bulan, dan menambah ramai sukarelawan yang mahu menyertai operasi itu.

Memandangkan kawasan tadahan air ialah juga punca air bumi, kata Piarapakaran, MWF meminta semua kerajaan negeri supaya menggazetkan secara kekal kawasan tadahan air dan menghalang semua bentuk pembangunan dijalankan di kawasan itu.

"Sebagai kerajaan yang bertanggung jawab, langkah ini wajar dilakukan. Mereka perlu membuat keputusan ini bukan sahaja untuk keperluan hari ini tetapi juga untuk masa depan.

"Terdapat banyak cara untuk membuat keuntungan tetapi bukannya dengan mengorbankan kesejahteraan kehidupan generasi masa depan. Buruk atau baik kehidupan mereka terletak di tangan anda," katanya.

PENGURUSAN LEMAH

Menurut Profesor Madya Dr Maketab Mohamed dari Institut Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sebalik semua pengetahuan teknikal yang ada, pengurusan kawasan tadahan air di negara ini secara relatifnya masih lemah berbanding negara maju.

Katanya dalam Akta Kualiti Alam Sekitar (EQA) 1974, Akta 127, pembuangan sebarang efluen di hulu punca air adalah lebih ketat berbanding di hilir, tetapi pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih membenarkan kawasan industri dan perumahan dibina di hulu punca air.

"Impak kumulatif tidak diambil kira. Membina satu unit mungkin okay tetapi bagaimana pula jika bilangan kawasan perumahan yang banyak ditambah dengan kawasan industri, semuanya di hulu? Satu contoh klasik ialah Sungai Skudai yang kini diletakkan di bawah Public Utilities Board (PUB) Singapura tetapi akan diserahkan balik kepada negeri Johor.

"Kawasan tadahan di situ mempunyai banyak perbandaran di hulu sungai (Senai, Saleng, Kulai, Kulaijaya) dan banyak industri. Sewaktu musim hujan, air sungainya keruh, sementara di musim kering, takat pengambilan air banyak kali terpaksa ditutup kerana kandungan ammoniacal nitrogen yang tinggi (penunjuk pencemaran kumbahan/organik)," beliau memberitahu Bernama.

Dr Maketab berkata di sesetengah negara di Amerika Syarikat termasuk New York dan juga di negara-negara Scandinavia, pembangunan dihadkan di kawasan tadahan air yang kritikal.

"Malahan ladang tidak dibenarkan beroperasi di hulu kawasan tadahan air yang penting. Di Jepun juga, dengan kawasan tanah yang terhad, pembangunan di kawasan tadahan air yang penting dikawal dengan peraturan yang ketat ke atas pelepasan efluen.

"Sebagai contoh, Tasik Biwa yang membekalkan air ke Kyoto dan Osaka dan malahan kebanyakan Dataran Kansai, mempunyai keperluan pelepasan efluen yang ketat," katanya.

CAMERON HIGHLANDS

Pada awal 2008, Dr Maketab menjalankan kajian kebersihan (sanitari) ke atas bekalan air di Cameron Highlands termasuk Sungai Terla, satu daripada tiga kawasan tadahan air penting di tanah tinggi itu.

Dua lagi kawasan tadahan utama di Cameron Highlands ialah Ulu Sungai Bertam dan Sungai Burung.

Menurut beliau, loji rawatan air Sungai Terla menyediakan sekitar 80 peratus keperluan air yang boleh digunakan untuk Cameron Highlands, dengan demikian menjadikan lebih kritikal untuk melindungi kawasan tadahan air berkenaan.

Kata Dr Maketab, di samping kewujudan ladang di hulu loji rawatan air Sungai Terla, terdapat juga ladang baru dibenarkan dibuka, menyebabkan penggondolan hutan di hulu takat pengambilan air.

Beliau berkata ladang-ladang itu kini menjadi ancaman utama kepada mutu air mentah dalam bentuk jumlah pepejal terampai (TSS) di samping najis dan bakteria coliform yang berpunca daripada kegiatan manusia serta penggunaan baja organik dari sumber haiwan seperti tahi ayam.

Menurut Dr Maketab yang begitu khuatir dengan hasil penemuannya, bahagian hulu kawasan tadahan Sungai Terla lebih mudah dilalui dengan pembukaan jalan menghubungkan Simpang Pulai ke Cameron Highlands dan Gua Musang.

"Selaras dengan amalan yang biasa dibuat dalam pengurusan kawasan tadahan air untuk tujuan bekalan air minuman, sebarang ladang atau kediaman manusia tidak sepatutnya dibenarkan dalam lingkungan kawasan tadahan Sungai Terla.

"Tidak ada lagi kompromi untuk keselamatan air mentah Sungai Terla. Ladang-ladang lama dan baru perlu ditutup dengan segera demi faedah penduduk Cameron Highlands dan pelancong yang melawat tanah tinggi itu," tegasnya sambil menjelaskan bahawa salinan kajiannya sudah dihantar kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

-- BERNAMA

Saturday, April 11, 2009

Ku Li Nafi Puji Barisan Kabinet Baru

12 April, 2009 00:03 AM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama)-- Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari Sabtu menafikan beliau memuji barisan Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemas dan berupaya sebagaimana yang dilaporkan media.

Bercakap pada satu sidang akhbar di pejabatnya di sini, beliau berkata keupayaan Kabinet baru itu belum lagi kelihatan dan adalah tidak adil bagi beliau menilai mereka pada masa ini.

"Apapun, kesemuanya adalah berorientasikan prestasi, itu bagus tetapi biarlah kita melihat mereka selepas enam bulan sama ada mereka berjaya untuk tidak berkhidmat sebagaimana yang mereka yang sepatutnya lakukan," kata beliau.

Razaleigh berkata adalah menjadi harapan ramai orang termasuk dirinya terhadap Kabinet baru untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara kerana jika tidak banyak masalah seperti rasuah, ketidakharmonian kaum dan ekonomi tidak dapat ditangani dengan berkesan.

Beliau berkata adalah penting untuk mengadakan pembaharuan dasar dan sistem pendidikan terutamanya berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Razaleigh berkata PPSMI tidak berjaya terutamanya bagi pelajar luar bandar yang lebih menjadi "mangsa dasar PPSMI".

Mengenai tindakan Perdana Menteri membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), beliau berkata langkah itu bagus tetapi mempersoalkan kenapa tidak semua tahanan ISA dibebaskan.

"Kenapa begitu selektif? Membebaskan hanya sebahagian dan tidak kesemua yang lain? Kehidupan rakyat dan kebebasan tidak boleh digunakan sebagai helah politik," katanya.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=403505

Wednesday, April 8, 2009

PUDING LULUR

20 gm Agar-agar
5 cawan Air
1 cawan Gula pasir
4 bungkus tapai
1 cawan Susu cair
1 camca vanilla

Sunday, April 5, 2009

Ahad April 5, 2009
Siti bertemu Nik Aziz

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) menerima cenderahati daripada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin (kiri) semasa berkunjung ke Pejabat Menteri Besar di Kota Darulnaim. Turut sama suaminya Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (kanan). -foto BERNAMA

SELEPAS menjayakan persembahan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ke-59 di Kota Bahru, Kelantan pada 1 April lalu, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa sempat melawat Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pejabat Menteri Besar di Kota Darulnaim.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Siti berkata kunjungannya itu bertujuan meluahkan rasa hormatnya terhadap Nik Aziz.