cna

Aljazeera

Thursday, October 23, 2008

Pameran istimewa Tunku

EKSKLUSIF... Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah menunjukkan antara gambar Tunku Abdul Rahman yang akan dipamerkan di Galeri RA Fine Art pada November ini.
Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
KUALA LUMPUR 10 Okt. - Jasa dan pengorbanan Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah kepada negara ini memang tidak terhitung dengan angka.
Beliau bukan sahaja bertanggungjawab mendapatkan kemerdekaan negara ini daripada British tetapi juga telah memperkukuhkan sistem perkongsian kuasa yang menjadi teras kepada kejayaan Malaysia.
Atas kapasitinya itu sebagai pemimpin negara, setiap perjalanan beliau tentunya merupakan satu sejarah bagi negara ini dan sebahagiannya telah direkodkan untuk tatapan generasi akan datang.
Bagi generasi muda hari ini, mereka memang kenal Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri yang pertama tetapi mereka tidak mengenali beliau secara peribadi.
Bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana perjalanan Tunku itu telah dirakamkan dalam bentuk foto oleh jurugambar peribadi beliau iaitu Syed Abdullah Barakhbah.
Sejak tahun 1950-an, Syed Abdullah telah menjadi jurufoto tidak rasmi kepada Tunku Abdul Rahman dengan mengabadikan pelbagai peristiwa Tunku sebagai Perdana Menteri.
Beliau menyimpan beratus-ratus koleksi gambar peribadi pemimpin itu dengan baik untuk tatapan generasi masa ini.
Bagi memberi peluang kepada masyarakat melihat koleksi itu, Galeri RA Fine Arts Sdn. Bhd. (GRAFASB) mengambil inisiatif mengadakan pameran berjudul The Residency Years: Tunku Abdul Rahman - A Photographic Tribute by Syed Abdullah Barakhbah.
Menurut Pengarah GRAFASB, Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah, menerusi pameran itu, pengunjung berpeluang melihat gambar-gambar tidak rasmi Tunku Abdul Rahman yang dirakamkan oleh Syed Abdullah.
Katanya, Syed Abdullah merupakan anak saudara dan anak angkat Tunku dan beliau telah dilantik oleh Tunku sebagai jurugambar tidak rasmi beliau.
"Koleksi gambar yang diambil oleh Syed Abdullah boleh dikatakan eksklusif dan terhad kerana gambar-gambar ini juga tidak pernah dipamerkan sebelum ini di mana-mana.
"Ini kerana gambar-gambar itu bukan sahaja tidak rasmi tetapi ia nampak lebih santai seperti gambar Tunku sedang berkebun, bersama anggota keluarganya termasuklah gambar tukang masak beliau," katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, kebanyakan gambar itu diambil di bekas kediaman Tunku di Kuala Lumpur yang kini dijadikan Memorial Tunku Abdul Rahman.
Jelas Raja Ahmad Aminullah, idea untuk mengadakan pameran itu dicetuskan oleh pengkritik filem, Mansor Puteh yang juga merupakan adik ipar Syed Abdullah selepas mendapati gambar-gambar koleksi peribadi tersebut disimpan begitu sahaja.
"Sebanyak 106 gambar koleksi Tunku Abdul Rahman itu merupakan antara yang sudah dipilih berdasarkan kualiti gambar, kesesuaian selain memperingati ulang tahun kelahiran Bapa Kemerdekaan itu yang ke-106 pada Februari lalu.
"Sebenarnya, pameran ini pernah dicadangkan pada tahun 1994 tetapi ia tidak berjaya direalisasikan kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
"Walaupun semua gambar yang akan dipamerkan kelak dalam hitam putih tetapi ia masih dalam keadaan baik," ujarnya.
Raja Ahmad Aminullah berkata, peluang untuk menyaksikan pameran itu tidak seharusnya dilepaskan kerana pengunjung akan dapat mengenali dengan lebih dekat keperibadian dan gaya hidup Tunku Abdul Rahman.
"Secara tidak langsung, gambar-gambar yang dipamerkan nanti mampu menceritakan tentang Tunku dari konteks sejarah, sosiologi, politik antarabangsa dan kehidupan peribadi beliau," katanya.
Beliau berharap pameran yang akan diadakan itu akan menjadi pemangkin kepada golongan muda untuk lebih menyayangi Bapa Kemerdekaan tersebut.
Pameran itu dibuka secara percuma kepada orang ramai di galeri tersebut di No. 6, Jalan Aman, off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, mulai 10 November hingga 10 Disember ini dari pukul 11 pagi hingga 6 petang.
Sementara itu, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) turut mengadakan pameran bergambar mengenai Tunku Abdul Rahman sehingga Ahad ini di Galeri 2 Muzium Negara.
Pameran bertajuk "Terima Kasih Tunku" itu adalah sebagai tanda penghargaan dan bagi mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu.
Ketua Pengarah JMM, Ibrahim Ismail berkata, apa yang menarik pada pameran itu ialah kesemua gambar yang dipamerkan telah dibaik pulih, diindahkan, dibesarkan dan dihasilkan semula di atas kanvas serta dibingkaikan.
Katanya, sejumlah 222 gambar telah dibaik pulih dengan kerjasama Canvas Art Sdn. Bhd. untuk pameran istimewa tersebut.

No comments: