cna

Aljazeera

Monday, October 20, 2008

Srikandi Pencetus Semangat Kemerdekaan Negara

20 Oktober, 2008 23:18 PM
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Seorang ibu yang tegas dan tidak mudah mengalah dalam setiap perjuangannya, kata Jamaluddin Ibrahim, anak kedua Allahyarham Shamsiah Fakeh, 84, yang kembali ke rahmatullah di kediamannya di Tropicana, Damansara pagi ini.
Shamsiah yang disifatkan Jamaluddin sebagai seorang wanita yang mempunyai semangat juang yang tinggi, juga merupakan seorang ibu yang amat bertanggungjawab dan mengambil berat tentang soal keluarga dan anak-anaknya.

Ketika mengimbau kembali saat-saat akhir Allahyarham, Jamaluddin berkata kepergian ibunya hanya disedari apabila anggota keluarga cuba mengejutkannya pada pukul 9 pagi.

"Kami tak syak apa-apa sehinggalah masa untuk kejutkannya pagi ini. Kemudian, barulah kami sedar dia (ibu) sudah kembali ke rahmatullah," katanya selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Tunas Bakti, Sungai Besi di sini, pukul 5.30 petang ini.

Katanya, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak dua bulan lalu akibat sakit tua sebelum dibenarkan pulang dua hari lepas.

Shamsiah, anak kepada pasangan Saamah Nonggok dan Fakeh Sultan Sulaiman dilahirkan dalam keluarga yang kuat pegangan agama pada 1924 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Pada usia 13 tahun, beliau dihantar melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama Rahmah Al-Yunusiah, Madrasah Tuddimiah, Padang Panjang di Sumatera Barat hingga 1940.

Shamsiah ialah ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sebuah parti politik sayap kiri yang ditubuhkan di Tanah Melayu pada Februari 1946 bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajah British.

Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah.

Oleh itu, AWAS kemudian diharamkan di bawah undang-undang darurat yang diisytiharkan British di seluruh Malaya pada 20 Jun 1948, tetapi ini tidak mematahkan semangat srikandi ini untuk meneruskan perjuangan memerdekakan negara.

Shamsiah kemudian menyertai Rejimen Ke-10 sayap Melayu Parti Komunis Malaya (PKM).

Perjuangannya tidak mengenal tempat, sama ada di hutan mahupun di pentas antarabangsa.

Beliau bersama suaminya, Ibrahim Mohamad, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan.

Beliau yang dilucutkan keanggotaannya daripada PKM pada 1968, terus berada di Beijing, China dengan menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi selain memberi khidmat kepakaran Bahasa Melayu kepada Radio Beijing serta Institut Bahasa Asing Beijing.

Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang ditandatangani di Haadyai, Thailand pada 1989.

-- BERNAMA

Shamsiah Fakeh menghembuskan nafas terakhir pada 20 Oktober 2008, jam 9 pagi di kediaman anak lelakinya di Kodominium de Tropicana, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, Selangor. Jenazah beliau, 84, yang mengalami sakit tua telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Perginya pemimpin wanita berhaluan kiri
Oleh ROOSFA HASHIM
pejuang politik berhaluan kiri dan bekas Ketua Umum Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Shamsiah Fakeh meninggal dunia pukul 9 pagi semalam pada usia 84 tahun kerana sakit tua.
Anak kedua daripada lapan orang adik-beradik itu lahir di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Ayahnya seorang peniaga, Sutan bin Sulaiman atau lebih dikenali sebagai 'Fakeh' kerana dihormati atas keilmuan agamanya yang tinggi. Ibunya bernama Sa Asma binti Nonggok. Ibu dan ayahnya adalah perantau dari Padang, Sumatera yang berhijrah ke Tanah Melayu dan menetap di Kuala Pilah.
Shamsiah pernah mengajar di Madrasah al-Akhlak Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai pada 1945 dan bermulalah kegiatannya menyuntikkan semangat anti-Inggeris dan perjuangan kemerdekaan kepada masyarakat setempat.
Ketika usianya 24 tahun, beliau menerima undangan pucuk pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bagi menyertai parti itu dan menjadi Ketua Umum AWAS, iaitu sayap wanita PKMM menggantikan Aishah Ghani yang meletakkan jawatan.
AWAS kemudian dipimpin oleh Shamsiah untuk menyertai gabungan Pusat Tenaga Rakyat - All Malayan Council of Joint Action (PUTERA-AMCJA). Shamsiah juga membawa AWAS bekerjasama dengan Angkatan Pemuda Insaf (API), pimpinan Ahmad Boestamam bagi menaikkan semangat pemuda pemudi Tanah Melayu ke arah kemerdekaan.
Gandingan suami isteri pemimpin API-AWAS, Ahmad Boestamam-Shamsiah ini telah menjadi pemangkin dalam mempercepat kepanasan semangat nasionalisme dalam kalangan anak muda di Tanah Melayu.
Selepas berpisah dengan Boestamam, Shamsiah berkahwin pula dengan Wahi Annuar, pemimpin Ikatan Pemuda Tanah Air yang juga bekerja rapat dengan PKM.
Menentang
AWAS menganjurkan Hari Wanita Pekerja Antarabangsa di Jenderam, Selangor pada 8 Mac 1947. Shamsiah juga memimpin ahli-ahli AWAS turut serta dalam rapat umum dan perarakan anjuran Pembela Tanah Air (PETA) di Temerloh pada penghujung Mac 1948 bagi menentang penjajahan Inggeris. Tumpuan beliau juga diberikan bagi mengukuhkan AWAS di Pahang khususnya di Lubuk Kawah, Temerloh sehingga berjaya mengumpulkan 65,000 ahli dalam 67 cawangan.
Selepas Inggeris mengisytiharkan darurat, Shamsiah diburu manakala PKM, PKMM dan AWAS diharamkan. Semua kegiatan radikal dan komunisme diharamkan. Shamsiah dan teman-temannya berundur ke dalam hutan di Temerloh dan menyertai Rejimen Ke-10, pasukan gerila Melayu pimpinan Abdullah C.D. yang juga bekas pimpinan pusat PKMM dan anggota Jawatankuasa Pusat, Parti Komunis Malaya. Dengan tekanan yang diterima, Rejimen Ke-10 berundur lebih jauh ke sempadan Malaysia - Thailand pada 1953.
Shamsiah kemudian dihantar oleh PKM ke China sebelum ditukarkan bersama suaminya Ibrahim Mohamad ke Jakarta dan berkhidmat dalam Liga Pembebasan Nasional Malaya (LPNM).
Di Jakarta mereka berdua berkhidmat bersama Abdullah Sudin dari Singapura. Dengan tercetusnya Gestapu (30 September 1965), Sukarno digulingkan, Shamsiah dan teman-temannya dalam LPNM ditangkap dan dibuang negeri ke China. Bagi meneruskan hidupnya, Shamsiah bekerja di kilang besi.
Shamsiah tidak lagi aktif berjuang bersama PKM sejak 1968. PKM menandatangani perjanjian damai dengan Kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989 di Haadyai dan ketika itu Shamsiah dan keluarganya masih berada di China.
Beliau kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994. Apabila kembali ke tanah air, Shamsiah menulis kisah hidupnya dan menerbitkannya dengan judul Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10.
Shamsiah dan AWAS akan terus dicatat dalam sejarah sebagai pejuang dan pertubuhan berhaluan kiri.
Shamsiah Fakeh meninggal dunia
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Shamsiah Fakeh, 84, atau nama sebenarnya Shamsiah Sutan meninggal dunia akibat sakit tua dan jangkitan pada paru-paru, di kediaman anaknya di Kondominium D'Tropicana, Jalan Kuchai Lama di sini.
Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Wanita Sedar (Awas), sebuah parti politik sayap kiri kepada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9 pagi.
Salah seorang anaknya, Jamaluddin Ibrahim, 46, memberitahu, ibunya sudah dapat merasakan akan pergi buat selama-lamanya dengan meminta dikeluarkan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada Sabtu lalu.
''Beliau memang sudah berpesan kalau boleh mahu meninggal dunia di rumah anaknya daripada di hospital,'' katanya.
Menurutnya lagi, arwah ibunya berada dalam keadaan baik semasa hari pertama di rumah selepas keluar dari hospital semalam.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Sungai Besi selepas solat asar.
Shamsiah Fakeh dilahirkan pada 1924 di Kuala Pilah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama Rahmah Al-Yunusiah, Padang Panjang, Sumatera.
Beliau merupakan antara tokoh perjuangan kemerdekaan yang dilabel dalam golongan kelompok kiri seangkatan dengan Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Burhanuddin Helmi.
Selepas menubuhkan Awas, pertubuhan parti politik itu diharamkan di bawah Undang-Undang Darurat yang diisytiharkan British pada 20 Jun 1948, telah memaksa beliau melarikan diri ke hutan dan menyertai perjuangan bersenjata PKM.
Kemudian, beliau bersama rakan sekutunya bergerak ke sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 1953.
Berkahwin dengan Ibrahim Mohamad pada 1 Jun 1956, beliau dikurniakan tiga orang anak, Shamsuddin, Kamaruddin dan Jamaluddin.
Setelah sekian lama bersama PKM, akhirnya beliau menyerah diri kepada kerajaan Malaysia pada tahun 1980 mengikut jejak langkah bekas Pengerusi PKM, Musa Ahmad.
Beliau pulang ke tanah air pada 1994 bersama suami dan anak-anaknya setelah mendapat kebenaran kerajaan Malaysia.

No comments: