cna

Aljazeera

Friday, November 7, 2008

PKNS Bangunkan 10 Bandar Contoh Di Selangor


07 November, 2008 15:26 PM

Oleh Jenny Lanong

PETALING JAYA, 7 Nov (Bernama) -- Negeri Selangor, yang mempunyai penduduk paling ramai iaitu kira-kira 3.75 juta, kini mengharungi ekonomi yang paling pesat dan berdaya saing di antara negeri-negeri di Malaysia.

Dengan lokasinya yang strategik dan sumber semula jadi yang kaya, negeri ini merupakan negeri paling maju di Malaysia.

Bersesuaian dengan keperluan dan perkembangan ekonomi semasa dan akan datang, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus merangka strategi pembangunan bandar dan pusat pertumbuhan baru agar perancangan pembangunan bandar relevan dengan kehendak dan cita rasa pelanggan.

Pembangunan seimbang juga merupakan agenda penting PKNS selaras dengan dasar pembangunan nasional yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk sekali gus menyusun semula masyarakat di bandar.

Sehingga kini PKNS membangunkan 10 pusat pertumbuhan baru dengan keluasan 14,184 hektar; antaranya Shah Alam, Bandar Baru Bangi, Kelana Jaya, Bandar Sultan Suleiman, Kota Damansara, Kota Puteri, Ampang Ulu Klang, Bernam Jaya, Antara Gapi dan Petaling Jaya.

SHAH ALAM MODEL PEMBANGUNAN BANDAR DI SELANGOR

Pada satu ketika dahulu, Sungai Renggam, yang terletak kira-kira 25 km dari Kuala Lumpur adalah sebuah kawasan ladang getah dan kelapa sawit. Daerah itu kemudian diberi nama Batu Tiga sebaik sahaja negara mencapai kemerdekaan.

Pada 1964, Batu Tiga dibangunkan sebagai bandar perindustrian dengan kawasan seluas 3,398 hektar dengan sasaran penduduk kira-kira 180,000 susulan kedudukannya yang strategik antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang.

Kini dikenali sebagai Shah Alam, ia adalah bandar dalam taman yang menjadi model pembangunan bandar baru yang lain.

"PKNS telah memperuntukkan 30 peratus daripada keseluruhan kawasan Shah Alam untuk pembangunan perumahan, 12 peratus untuk tujuan perdagangan dan kemudahan rekreasi serta 19 peratus untuk tujuan perindustrian," kata Pengurus Besar PKNS, Datuk Haji Harun Salim kepada Bernama baru-baru ini.

Sejak mula dibangunkan, PKNS telah menyiapkan 27,627 unit kediaman, 552 unit kedai, 81 unit kilang, tiga buah kompleks dan sebuah hotel.

Bagi tahun 2007 sahaja, PKNS telah menyiapkan 158 unit rumah kos tinggi dan melalui projek penswastaan pula sebanyak 262 unit kos tinggi dan 53 unit kedai siap dibina.

Sementara itu, 1,389 unit rumah pelbagai jenis, sebuah pusat pameran dan konvensyen yang lengkap dengan bilik seminar, auditorium berskala dengan keluasan ruang lantai 208,666 persegi sedang dibina.

Melalui penswastaan pula sebanyak 3,368 unit kediaman dan 1,559 lot pejabat dan perniagaan kini pada tahap pelbagai peringkat kemajuan.

BANDAR BARU BANGI BANDAR MODEN

Kejayaan yang membanggakan di Shah Alam mendorong PKNS memajukan Bandar Baru Bangi, sebuah kawasan seluas 1,869 hektar yang terletak di selatan Lembah Klang.

Kerja-kerja membangunkan kawasan ini dimulakan pada 1974 dan berakhir 2007, dengan pembinaan 11,040 unit kediaman, 308 unit kedai, 43 unit kilang dan sebuah kompleks pejabat.

"Pada tahun 2006 sahaja, 390 unit pelbagai jenis binaan siap dibina di Bangi. Daripada jumlah itu, 68 unit hartanah dilaksanakan oleh PKNS manakala 322 unit melalui penswastaan," kata Harun.

PKNS sedang membina kira-kira 975 unit rumah dan 26 unit kilang manakala 1,105 unit rumah pelbagai jenis dan 14 unit kedai diswastakan.

Bandar Baru Bangi juga dikenali sebagai bandar ilmu dengan adanya institusi pengajian tinggi, pusat latihan kebangsaan dan korporat, kilang, ruang perniagaan dan perkhidmatan bagi pusat pertumbuhan.

BANDAR SATELIT UNTUK AMPANG ULU KLANG

Pembangunan bandar Ampang Ulu Klang seluas 198 hektar dimulakan sejak 1971 berasaskan penekanan ke arah mewujudkan satu kawasan penempatan serba lengkap dan selesa kepada sasaran penduduk seramai 30,000 orang.

Mengikut perancangan, 40 peratus daripada jumlah tanah itu adalah untuk kawasan perumahan, lima peratus kawasan institusi dan 20 peratus untuk kawasan industri manakala selebihnya 35 peratus bagi tujuan prasarana.

Sehingga tahun 2007, PKNS membina 12,036 unit kediaman pelbagai jenis di kawasan Ampang Ulu Klang.

KELANA JAYA BANDAR SATELIT KEDUA

Prasarana dan sistem pengangkutan yang cekap seperti rangkaian transit rel ringan (LRT) dan lebuh raya seperti Lebuh Raya Damansara Puchong telah membantu PKNS untuk mewujudkan bandar satelit kedua, Kelana Jaya dengan keluasan 615 hektar.

Bandar ini telah dirancang sebagai kawasan perindustrian dengan kawasan seluas 47.3 hektar diperuntukkan kepada zon perdagangan bebas.

Sehingga akhir 2007, PKNS telah membina 4,046 pelbagai jenis unit kediaman di Kelana Jaya.

BANDAR BARU SULTAN SULEIMAN

Bandar Baru Sultan Suleiman terletak berdekatan Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang.

Harun berkata, pembangunan bandar ini adalah bersesuaian dengan hasrat untuk mewujudkan bandar pelabuhan yang mampu menawarkan banyak peluang pekerjaan selain aktiviti sokongan berkaitan pelabuhan, pembuatan dan perkhidmatan.

Daripada keluasan keseluruhan yang berjumlah 1,186 hektar, PKNS membangunkan sejumlah 567 hektar (48 peratus) untuk tujuan perindustrian.

Bagi tujuan perdagangan, seluas 58 hektar dimajukan manakala 179 hektar lagi dikhaskan untuk perumahan dan selebihnya untuk prasarana, rekreasi dan institusi.

Apabila siap sepenuhnya pada 2010, Bandar Baru Sultan Suleiman dijangka mampu menampung seramai 45,000 orang penduduk.

PEMBANGUNAN BERSEPADU KOTA DAMANSARA

Kota Damansara yang berkeluasan 1,588 hektar akan menjadi bandar contoh dengan pembangunan bersepadu dan dilengkapi dengan kemudahan moden dan komponen sokongan fizikal.

Sebanyak 40 peratus keluasan dibangunkan untuk kawasan perumahan, Taman Sains Selangor (20 peratus), kawasan rekreasi (25 peratus), infrastruktur (lapan peratus), tujuan komersial (empat peratus) dan institusi (tiga peratus).

Bandar Kota Damansara yang mula dibangunkan pada tahun 1981 mensasarkan seramai 120,000 penduduk.

"Bandar bersepadu ini bukan sahaja menitikberatkan pembangunan kediaman dan kawasan komersial malah ia memberi penekanan dalam aspek penyelidikan selain mementingkan kehidupan selesa, berkualiti dengan mewujudkan kemudahan serba canggih dan moden," kata Harun.

KEHIDUPAN BANDAR DENGAN SUASANA DESA DI KOTA PUTERI

Kota Puteri mula dibangunkan pada tahun 1991, bagi mengimbangi pembangunan antara wilayah di luar Lembah Klang dan menjadi nadi penggerak pembangunan di utara Lembah Klang.

Kawasan pertumbuhan baru ini dirancang dengan teliti bagi mewujudkan sebuah kawasan pembangunan bercampur menerusi konsep kehidupan bandar dengan suasana desa yang menawarkan kehidupan harmoni, selesa, kondusif dan mesra alam.

Kota Puteri yang dahulunya dikenali sebagai Bandar Batu Arang kini telah berubah wajah dengan kehadiran rumah kediaman dan rumah kedai yang didirikan dalam persekitaran yang mengekalkan kehijauan.

"Bagi tempoh 1991 hingga 2006, PKNS telah membangunkan 203 unit pelbagai jenis hartanah dengan 156 unit daripada jumlah itu adalah unit kediaman dan 47 unit kedai," katanya.

-- BERNAMA

No comments: