cna

Aljazeera

Tuesday, July 20, 2010

KENYATAAN AKHBAR
BERSAMA YAYASAN SELANGOR & INPENS

19 JULAI 2010

IKYS TIDAK AKAN DITUTUP

Yayasan Selangor dan INPENS ingin membuat kenyataan ekoran perpindahan Pelatih Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) ke Kolej INPENS di Kuala Selangor.

Sebenarnya INPENS menawarkan semua kursus-kursus kemahiran vokosional yang diiktiraf dan telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk mengendalikan kursus-kursus seperti berikut:-

Kursus Wireman -PW2 ( 1 fasa)
Kursus Wireman - PW4 (3 fasa)
Kursus Chargeman -PJA1 (Penjaga Jentera Elektrik Talian Atas)
Kursus Chargeman - PJA4-1
Kursus Chargeman - PJA4-2

INPENS juga mengendalikan Kursus Penghawa Dingin dan Pembekuan Tahap 1 dan Tahap 2 (SKM) yang diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia.

Untuk makluman, kesemua kursus-kursus yang dikendalikan oleh INPENS adalah dalam bidang kemahiran dan vokasional.

Dengan perpindahan ini juga tidak akan menjejaskan terma dan syarat yang telah ditawarkan dan mereka tidak akan dikenakan sebarang kos tambahan.

INPENS juga mempunyai infrastruktur yang lebih kondusif dan mempunyai kemudahan yang lebih lengkap dan terletak ditengah-tengah bandar Kuala Selangor yang memberi keselesaan kepada pelajar dan ibu-bapa yang datang melawat.

Dengan kenyataan ini pihak Yayasan Selangor dan INPENS berharap dapat melegakan perasaan resah dan kebimbangan semua pihak lebih-lebih lagi para ibubapa dan pelatih akan masa depanmereka. Malahan para peltih yang berjaya dan lulus pada tahap PW4 boleh meneruskan ke pengajian yang lebih tinggi di INPENS.

Untuk makluman juga, Kompleks IKYS ini tidak akan ditutup tetapi akan dimanfaatkan sebagai Pusat motivasi Pembinaan Modal Insan yang lain untuk rakyat.

DATO' MOHD MYDIN BIN MOHD. SHARIFF
PRESIDEN
KOLEJ INPENS
___________________________________________________________________


KENYATAAN AKHBAR
19 JULAI 2010

PENGGABUNGAN IKYS & INPENS LEBIH MANFAAT

Yayasan Selangor berasa amat kesal kerana terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menjadikan perpindahan pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor ke Kolej INPENS di Kuala Selangor sebagai satu isu.

Kami ingin menegaskan bahawa perpindahan ini tidak akan menganiayai mana-mana pelajar dimana pelajaran mereka akan diteruskan seperti biasa. Ianya juga tidak mendatangkan apa-apa perubahan dari segi kursus/program, tenaga pengajar , pengiktirafan pensijilan, dan mutu pengajaran kecuali perubahan tempat sahaja.

Kami juga ingin menegaskan bahawa laporan akhbar yang mengatakan Kompleks IKYS akan ditutup adalah tidak benar kerana ianya digunakan untuk latihan khidmat nasional dan program pembinaan modal insan pula.

Merujuk kepada keputusan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor kali ke-85 bil. 02/2010 dimaklumkan bahawa semua pelatih dan program IKYS akan diserap dan digabungkan ke Kolej INPENS di Kuala Selangor.

Penyerapan atau penggabungan ini tidak akan menjejaskan perkara berikut:
i) Pelaksanaan pengajian seperti yang ditawarkan kepada pelatih;
ii) Pentauliahan sijil dan kursus seperti yang ditawarkan kepada pelatih;
iii) Kemudahan Pinjaman Pendidikan Yayasan Selangor yang ditawarkan kepada pelatih;
iv) Kos pengajian, penginapan dan peperiksaan pelatih di tempat baru.

Tujuan penyerapan/penggabungan program kemahiran Pendawaian PW2 dan PW4 serta Kursus Penghawa Dingin Tahap 1 dan Tahap 2 adalah bagi menamatkan pertindihan program atau kursus kemahiran yang dijalankan oleh Yayasan Selangor dan Kolej INPENS di mana kedua-duanya adalah agensi dibawah Kerajaan Negeri Selangor.

Yayasan Selangor telah diberi peranan yang khusus untuk pembinaan modal insan melalui pendidikan di peringkat rendah dan menengah dan menyediakan dana untuk membiayai pelajar sehingga ke peringkat IPTA dan IPTS.

Oleh yang demikian, perpindahan pelajar-pelajar IKYS (aliran vokasional) ke Kolej INPENS adalah tepat dan tidak bercanggah dengan peranan Yayasan Selangor.

Perkara ini adalah selaras dengan hasrat untuk merasionalisasi dan menyelaras fungsi agensi Kerajaan supaya tidak ada pertindihan antara agensi-agensi Kerajaan seperti yang disarankan dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Ini akan mengelakkan pembaziran sumber dan memberi tumpuan yang lebih khusus bagi meningkatkan kualiti pendidikan modal insan.

Perkara ini sebenarnya telah dirancang pada 2007, tetapi keadaan di waktu itu belum mengizinkan, maka hanya sekarang baru dapat dilakukan. Sekali lagi kami kesal, lebih-lebih lagi pihak yang sudah mengetahui hal ini, sengaja mengambil kesempatan untuk tujuan yang tidak kami ketahui.

Mengenai tuduhan kononnya Kolej INPENS hanya mengendalikan kursus-kursus profesional dan tiada kursus-kursus kemahiran dan vokasional, kami ingin menegaskan ianya juga tidak benar.

Untuk pengetahuan semua, kursus-kursus profesional yang pernah di kendalikan oleh Kolej INPENS telah diserahkan sepenuhnya kepada UNISEL pada bulan April, 2007 dan semenjak itu Kolej INPENS hanya mengedalikan kursus-kursus Vokasional/kemahiran. Waktu itu Negeri Selangor ketika itu ditadbir oleh Barisan Nasional.

Penggabungan/penyerapan seumpama ini pernah di perbuat antara Kolej INPENS dan UNISEL yang di bawah MBI (Menteri Besar Pemerbadanan) sebelum 2008 lagi.

Ternyata ada antara mereka yang membuat tuduhan-tuduhan liar ini mempunyai ingatan yang pendek dan mungkin sengaja mencari publisiti murahan untuk kepentingan yang sempit dan berniat jahat.

Kami juga ingin menyatakan semua keputusan yang dibuat oleh Yayasan Selangor adalah selaras dengan misi dan visi untuk menjadi yayasan yang terunggul melalui penyediaan kemudahan pendidikan yang berkualiti dalam melahirkan insan kamil, cemerlang dan berketerampilan , berhasrat membangun generasi berilmu Negeri Selangor.

ILHAM MARZUKI
PENGURUS BESAR
YAYASAN SELANGOR

No comments: