cna

Aljazeera

Thursday, September 23, 2010

KENYATAAN AKHBAR
PAS SELANGOR NAFIKAN 30 PEMUDA PAS
KELUAR PARTI DI KUALA SELANGOR

Laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 21 September, 2010 dirujuk.

PAS Selangor menafikan laporan akhbar Sinar Harian bahawa kononnya 30 orang Pemuda PAS dari cawangan Kuala Parit, Kawasan Kuala Selangor keluar parti untuk menyertai Umno.

PAS Selangor turut menafikan bahawa Sdr Sharudin Mohd Nri adalah Timbalan Ketua Pemuda cawangan berkenaan. Menurut rekod cawangan, beliau tidak pernah mendaftar menjadi ahli PAS dan begitu juga mereka yang kononnya menuruti beliau untuk menyertai Umno.

Ternyata tindakan Umno khasnya ADUN Jeram, YB Amiruddin Setro, melakonkan “drama” anak-anak muda keluar PAS menyertai Umno itu sebagai suatu tindakan publisiti politik murahan oleh mereka yang sudah ketandusan modal politik setelah BN ditolak mentah-mentah oleh rakyat Selangor pada pilihan raya umum 2008.

Cawangan PAS Kuala Parit telah ditubuhkan pada tahun 1985 dengan keahlian melebihi 100 orang. Menurut sumber cawangan pertambahan mendadak keahlian cawangan berkenaan berlaku khasnya selepas PRU lalu menandakan rakyat sudah hilang keyakinan pada Umno.

PAS Selangor sesungguhnya sedang aktif mengatur strategi dan memberi tumpuan untuk menawan saki-baki DUN yang dimenangi Umno termasuklah DUN Jeram. Oleh itu tidak hairanlah dalam suasana yang tidak menentu bagi Umno ini, Umno Kuala Selangor sanggup melakonkan “drama” murahan semata-mata untuk melarikan tumpuan rakyat terhadap kemampuan dan kebolehan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang semakin disenangi dan mendapat tempat di hati rakyat.

Rakyat Selangor umumnya menerima kepimpinan baru negeri yang diterajui Pakatan Rakyat yang telah mampu mengikis kepincangan puluhan tahun pentadbiran negeri ini di bawah Umno dan Barisan Nasional. PAS Selangor yakin rakyat akan memberi mandat yang lebih besar pada kerajaan ini pada PRU ke 13 nanti. Tiada “drama”murahan termasuklah yang dilakonkan di Kuala Parit itu yang mampu membendung dan menyekat gelombang kebangkitan rakyat itu.

DIKELUARKAN OLEH:
ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
KETUA PENERANGAN PAS SELANGOR
21 September, 2010

No comments: