cna

Aljazeera

Tuesday, July 20, 2010

KENYATAAN AKHBAR
BERSAMA YAYASAN SELANGOR & INPENS

19 JULAI 2010

IKYS TIDAK AKAN DITUTUP

Yayasan Selangor dan INPENS ingin membuat kenyataan ekoran perpindahan Pelatih Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) ke Kolej INPENS di Kuala Selangor.

Sebenarnya INPENS menawarkan semua kursus-kursus kemahiran vokosional yang diiktiraf dan telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk mengendalikan kursus-kursus seperti berikut:-

Kursus Wireman -PW2 ( 1 fasa)
Kursus Wireman - PW4 (3 fasa)
Kursus Chargeman -PJA1 (Penjaga Jentera Elektrik Talian Atas)
Kursus Chargeman - PJA4-1
Kursus Chargeman - PJA4-2

INPENS juga mengendalikan Kursus Penghawa Dingin dan Pembekuan Tahap 1 dan Tahap 2 (SKM) yang diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia.

Untuk makluman, kesemua kursus-kursus yang dikendalikan oleh INPENS adalah dalam bidang kemahiran dan vokasional.

Dengan perpindahan ini juga tidak akan menjejaskan terma dan syarat yang telah ditawarkan dan mereka tidak akan dikenakan sebarang kos tambahan.

INPENS juga mempunyai infrastruktur yang lebih kondusif dan mempunyai kemudahan yang lebih lengkap dan terletak ditengah-tengah bandar Kuala Selangor yang memberi keselesaan kepada pelajar dan ibu-bapa yang datang melawat.

Dengan kenyataan ini pihak Yayasan Selangor dan INPENS berharap dapat melegakan perasaan resah dan kebimbangan semua pihak lebih-lebih lagi para ibubapa dan pelatih akan masa depanmereka. Malahan para peltih yang berjaya dan lulus pada tahap PW4 boleh meneruskan ke pengajian yang lebih tinggi di INPENS.

Untuk makluman juga, Kompleks IKYS ini tidak akan ditutup tetapi akan dimanfaatkan sebagai Pusat motivasi Pembinaan Modal Insan yang lain untuk rakyat.

DATO' MOHD MYDIN BIN MOHD. SHARIFF
PRESIDEN
KOLEJ INPENS
___________________________________________________________________


KENYATAAN AKHBAR
19 JULAI 2010

PENGGABUNGAN IKYS & INPENS LEBIH MANFAAT

Yayasan Selangor berasa amat kesal kerana terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menjadikan perpindahan pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor ke Kolej INPENS di Kuala Selangor sebagai satu isu.

Kami ingin menegaskan bahawa perpindahan ini tidak akan menganiayai mana-mana pelajar dimana pelajaran mereka akan diteruskan seperti biasa. Ianya juga tidak mendatangkan apa-apa perubahan dari segi kursus/program, tenaga pengajar , pengiktirafan pensijilan, dan mutu pengajaran kecuali perubahan tempat sahaja.

Kami juga ingin menegaskan bahawa laporan akhbar yang mengatakan Kompleks IKYS akan ditutup adalah tidak benar kerana ianya digunakan untuk latihan khidmat nasional dan program pembinaan modal insan pula.

Merujuk kepada keputusan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor kali ke-85 bil. 02/2010 dimaklumkan bahawa semua pelatih dan program IKYS akan diserap dan digabungkan ke Kolej INPENS di Kuala Selangor.

Penyerapan atau penggabungan ini tidak akan menjejaskan perkara berikut:
i) Pelaksanaan pengajian seperti yang ditawarkan kepada pelatih;
ii) Pentauliahan sijil dan kursus seperti yang ditawarkan kepada pelatih;
iii) Kemudahan Pinjaman Pendidikan Yayasan Selangor yang ditawarkan kepada pelatih;
iv) Kos pengajian, penginapan dan peperiksaan pelatih di tempat baru.

Tujuan penyerapan/penggabungan program kemahiran Pendawaian PW2 dan PW4 serta Kursus Penghawa Dingin Tahap 1 dan Tahap 2 adalah bagi menamatkan pertindihan program atau kursus kemahiran yang dijalankan oleh Yayasan Selangor dan Kolej INPENS di mana kedua-duanya adalah agensi dibawah Kerajaan Negeri Selangor.

Yayasan Selangor telah diberi peranan yang khusus untuk pembinaan modal insan melalui pendidikan di peringkat rendah dan menengah dan menyediakan dana untuk membiayai pelajar sehingga ke peringkat IPTA dan IPTS.

Oleh yang demikian, perpindahan pelajar-pelajar IKYS (aliran vokasional) ke Kolej INPENS adalah tepat dan tidak bercanggah dengan peranan Yayasan Selangor.

Perkara ini adalah selaras dengan hasrat untuk merasionalisasi dan menyelaras fungsi agensi Kerajaan supaya tidak ada pertindihan antara agensi-agensi Kerajaan seperti yang disarankan dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Ini akan mengelakkan pembaziran sumber dan memberi tumpuan yang lebih khusus bagi meningkatkan kualiti pendidikan modal insan.

Perkara ini sebenarnya telah dirancang pada 2007, tetapi keadaan di waktu itu belum mengizinkan, maka hanya sekarang baru dapat dilakukan. Sekali lagi kami kesal, lebih-lebih lagi pihak yang sudah mengetahui hal ini, sengaja mengambil kesempatan untuk tujuan yang tidak kami ketahui.

Mengenai tuduhan kononnya Kolej INPENS hanya mengendalikan kursus-kursus profesional dan tiada kursus-kursus kemahiran dan vokasional, kami ingin menegaskan ianya juga tidak benar.

Untuk pengetahuan semua, kursus-kursus profesional yang pernah di kendalikan oleh Kolej INPENS telah diserahkan sepenuhnya kepada UNISEL pada bulan April, 2007 dan semenjak itu Kolej INPENS hanya mengedalikan kursus-kursus Vokasional/kemahiran. Waktu itu Negeri Selangor ketika itu ditadbir oleh Barisan Nasional.

Penggabungan/penyerapan seumpama ini pernah di perbuat antara Kolej INPENS dan UNISEL yang di bawah MBI (Menteri Besar Pemerbadanan) sebelum 2008 lagi.

Ternyata ada antara mereka yang membuat tuduhan-tuduhan liar ini mempunyai ingatan yang pendek dan mungkin sengaja mencari publisiti murahan untuk kepentingan yang sempit dan berniat jahat.

Kami juga ingin menyatakan semua keputusan yang dibuat oleh Yayasan Selangor adalah selaras dengan misi dan visi untuk menjadi yayasan yang terunggul melalui penyediaan kemudahan pendidikan yang berkualiti dalam melahirkan insan kamil, cemerlang dan berketerampilan , berhasrat membangun generasi berilmu Negeri Selangor.

ILHAM MARZUKI
PENGURUS BESAR
YAYASAN SELANGOR

Tuesday, June 22, 2010

Dr Asri, mufti: Mengapa kerajaan BN bohong?
Jimadie Shah Othman
Jun 23, 10 1:08pm

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini tampil menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengaitkan mereka dengan Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Sehubungan itu, mereka berkata, dakwaan pelbagai pihak, terutama pembangkang, bahawa isu keselamatan negara yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan sebagai permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.

Mereka menegaskan demikian dalam satu kenyataan bersama hari ini bagi mengulas laporan Malaysiakini mengenai taklimat keselamatan negara anjuran pihak polis yang mengaitkan mereka dengan Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Selain Dr Juanda dan Dr Asri, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim turut dikaitkan.

"Dakwaan ini sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan. Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan.

"Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamirkan Islam yang tolerance dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam. Hal ini boleh dirujuk dalam berbagai tulisan dan kenyataan kami," kata mereka.

Menurut mereka, Abdul Hadi dan Shahidan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan.

"Beliau (Abdul Hadi) ialah bekas MB Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanahair sejak sekian lama. Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat.

"Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini. Demikian (juga) dengan Datuk Seri Shahidan, (yang juga) bekas MB Perlis dan kini ahli Majlis Tertinggi Umno, naib presiden PERKIM dan akvitis berbagai (pertubuhan) kebajikan rakyat.

"Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas. Nampaknya Umno dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu," tambahnya.

Walaupun tidak mempunyai banyak maklumat mengenai JIM, tegas mereka, "namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu.

'Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai," tegas Dr Mohd Asri dan Dr Juanda.

Sehubungan itu, mereka menegaskan bahawa pihak polis perlu memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai satu fitnah rambang.

Mereka juga meminta pihak polis supaya menyiasat individu yang membuat tuduhan tersebut.

Jika pihak polis tidak menafikan dakwaan individu tersebut, tambah mereka, bererti pihak polis yang dikuasai oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri "seakan-akan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas".

"Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar. Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu.

"Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab.

"Di samping itu, kami menyeru setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran. Dan juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit," tambah mereka.

Sunday, May 30, 2010


KENYATAAN AKHBAR

30 MEI 2010

KERAJAAN NEGERI HARAMKAN JUDI BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010 BEROPERASI DI SELANGOR


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak akan membenarkan mana-mana premis beroperasi di negeri ini untuk menjalankan aktiviti perjudian atau pertaruhan bola sepak.

Walaupun lesen perjudian bola sepak telah dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat Barisan Nasional, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa menghalang aktiviti perjudian bola sepak beroperasi di negeri ini.

Ini kerana syarikat yang berkenaan perlu membuat permohonan lesen perniagaan dari PBT untuk menjalankan aktiviti perjudian bola sepak.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata semua PBT telah diberi arahan supaya tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada mana-mana pihak bagi aktiviti perjudian bola sepak.

“Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan tidak akan teragak-agak untuk menutup mana-mana premis yang menjalan perjudian bola sepak secara haram,” kata Tan Sri Abdul Khalid.

Sambil membantah keputusan Kerajaan Pusat mengeluarkan lesen perjudian sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia yang akan bermula Jun ini, Tan Sri Abdul Khalid berpendapat keputusan itu adalah langkah yang silap dan hanya menghalalkan segala penyakit sosial yang berterusan di negara ini.

Beliau menambah tiada jaminan bahawa pemberian lesen perjudian itu akan menghapuskan perjudian haram.

Sebaliknya, tindakan Kerajaan Pusat itu akan memburukkan lagi penyakit sosial apabila semakin ramai orang yang mahu cepat kaya terutama golongan miskin yang sanggup menggunakan wang gaji atau simpanan untuk membuat pertaruhan.

Abdul Khalid berkata, keputusan kerajaan diharap dapat mengelak orang ramai, sama ada Islam atau bukan Islam daripada terjerumus dengan perbuatan merugikan dan melalaikan itu.

Katanya, Kerajaan Selangor yang Pakatan Rakyat sepakat bahawa aktiviti perjudian adalah haram dan boleh meninggalkan kesan negatif kepada kehidupan sosial masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah.


TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR