cna

Aljazeera

Sunday, November 2, 2008

Krisis Ekonomi: Pekerja Malaysia Turut Terkena Tempias

02 November, 2008 15:07 PM

Oleh Sajad Hussein

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Ekoran krisis ekonomi dunia, wujud kebimbangan lebih ramai rakyat Malaysia di luar negara akan kehilangan kerja dan mungkin kembali ke tanah air yang sekaligus memberikan tekanan kepada pasaran kerja di negara ini.

Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura adalah yang pertama merasai bahangnya dan terpaksa pulang ke tanah air ekoran diberhentikan kerja. Pekerja dari negara lain juga mungkin akan berbuat demikian tidak lama lagi berikutan situasi ekonomi yang semakin gawat.

Pasaran kerja di negara ini kini dipenuhi kira-kira 2.1 juta pekerja asing tanpa izin yang merupakan kira-kira 20 peratus daripada jumlah tenaga kerja, dan kecuali sejumlah daripada pekerja itu "diusir", sukar bagi mereka yang pulang ke Malaysia untuk mendapatkan kerja.

Masalah itu turut diberatkan lagi dengan beratus-ratus pekerja asing tanpa izin yang turut mensasarkan kerja yang sama.

Tiada siapa mempunyai sebarang statistik mengenai pekerja tanpa izin tetapi kesatuan-kesatuan sekerja menganggarkan bagi setiap pekerja yang sah terdapat seorang pekerja tanpa izin. Hakikatnya dibuktikan dengan kehadiran ramai pekerja tanpa izin di Malaysia.

Keadaan itu agak serius kerana daripada 252,600 kerja baru yang diwujudkan di negara ini setiap tahun, hampir 45 peratus menjadi milik pekerja asing.

Kerajaan yang menyedari masalah itu mensasarkan untuk mengurangkan pekerja asing.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Thomas George, kerajaan bercadang mengurangkan jumlah pekerja asing kepada 1.5 juta menjelang 2015.

Bagi mencapai sasaran itu, kerajaan akan bekerjasama dengan pemilik syarikat, majikan, pekerja dan kesatuan kerja mereka untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Kerajaan, khususnya Jabatan Tenaga Kerja telah memainkan peranan proaktif dan sedang berusaha menyelesaikan masalah itu sebelum ia menjadi tidak terkawal.

Menurut Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Ismail Abdul Rahim, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan di peringkat kebangsaan untuk berhubung dengan majikan bagi mengenal pasti kerja kosong.

Katanya pada masa ini, Johor dilihat paling terjejas kerana rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura telah mula diberhentikan kerja dan kini mencari kerja di tanah air.

Berita baik ialah terdapat kira-kira 2,500 kerja kosong menunggu dan mereka hanya perlu berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja untuk mendapatkan kerja.

Ismail bagaimanapun menasihatkan mereka dan golongan belia supaya tidak terlalu memilih kerja dan memanfaatkan apa juga tawaran kerja yang ada.

Katanya dasar kerajaan ialah mengutamakan rakyat Malaysia bagi sebarang kerja.

Namun semua itu tampak indah pada luaran sahaja menurut Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, G. Rajasekaran.

Beliau berkata majikan menggunakan pelbagai helah untuk tidak mematuhi dasar itu dan lebih suka menggaji pekerja asing.

Sebagai contoh, katanya ramai rakyat Malaysia berminat bekerja sebagai krupier di Kasino di Genting Highlands - tetapi pengurusan lebih suka menggaji pekerja asing. Terdapat kira-kira 450 pekerja asing di situ .

Mengenai kenapa majikan memilih pekerja asing, Rajasekaran berkata terdapat banyak faktor, antaranya gaji lebih murah dan masa kerja yang lebih lama di samping mereka sanggup bekerja dalam keadaan tidak selesa dan faedah kerja yang sedikit.

Lagipun, dalam kes jika pekerja itu tidak memiliki permit yang sah, mereka mudah diperas ugut dan dieksploitasi.

Persoalan seterusnya yang perlukan jawapan ialah bagaimanakah caranya untuk mengubah sikap majikan tempatan dan meminta mereka membayar gaji lebih tinggi dan menyediakan tempat kerja lebih selesa untuk menarik minat tenaga kerja tempatan.

Undang-undang, menurut Rajasekaran boleh digunakan dan Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk melindungi pekerja, bagaimanapun halangan terbesarnya ialah penguatkuasaan.

Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen telah melakukan yang terbaik tetapi mereka kekurangan kakitangan untuk melaksanakan dan menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang yang relevan dan kelemahan ini merupakan satu daripada sebab utama kenapa majikan terus menggaji pekerja asing dan mendiskriminasi tenaga kerja tempatan.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=368752

No comments: