cna

Aljazeera

Friday, November 14, 2008

Muslimat PAS-Senada Cipta Sejarah Meterai Kerjasama Perkasa Wanita Islam

14 November, 2008 19:39 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Kerjasama antara Sekretariat Pembelaan dan Perkasaan Wanita Islam (Senada) dengan Dewan Muslimat PAS yang dimeterai hari ini melakar sejarah tersendiri berikutan penglibatan kali pertama wanita parti pembangkang dalam agenda kerajaan.

Pengerusinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kerjasama itu yang merentasi sempadan kaum, ideologi politik dan bangsa adalah platform dalam menentukan kecemerlangan wanita Islam ke tahap yang lebih optimum.

Beliau berkata penyertaan Dewan Muslimat PAS membuktikan Islam merupakan titik penyatuan kepada semua aspek kehidupan walaupun dengan latar belakang yang berbeza.

"Kerjasama dan perjuangan ini adalah wadah yang akan menyatukan kita di bawah satu agama iaitu Islam.

Kita akan wujudkan pelbagai program yang melibatkan badan-badan bukan kerajaan dan pihak yang relevan dalam memperkasakan kedudukan wanita Islam," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Shahrizat yang juga Penasihat Hal Ehwal Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri menyatakan demikian selepas mempengerusikan sesi dialog Senada bersama Dewan Muslimat PAS di sini.

Ditanya sama ada kerjasama itu turut membuka ruang kepada golongan wanita dari agama lain, beliau berkata aspek itu akan dihalusi bagi memperbetulkan tanggapan terhadap agama Islam secara keseluruhan.

"Menerusi kerjasama ini, kita akan betulkan persepsi golongan bukan Islam agar mereka lebih positif, sekaligus mengenepikan sebarang rasa prejudis dan perbezaan kerana Islam agama yang begitu indah," katanya.

Beliau turut menepis tanggapan bahawa kerjasama itu bermotifkan politik sebaliknya menegaskan, ia lebih menumpukan kepada usaha untuk memperkasa golongan wanita Islam negara ini.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Noriah Saleh berkata pihaknya sentiasa bersedia meneruskan kerjasama seumpama ini memandangkan ia berteraskan kebajikan yang sememangnya dituntut di dalam Islam.

"Muslimat PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan bersama siapa sahaja. Kita boleh bersama-sama tanpa sebarang halangan," katanya.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=371833

No comments: